Friday, October 14, 2016

Resepi Sambal Tumis Udang Petai Mudah Dan Sedap

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah hari ini diberikan ruang oleh Allah untuk menyiapkan 1 hidangan kesukaan suami, iaitu sambal tumis udang, dan ditambah pula dengan 1 makanan kesukaan isteri, iaitu petai 😍.

Mujur suami bukan jenis cerewet. Tak kisah sekiranya dicampur sekali petai ke dalam sambal. Katanya tak perlu renyah nak memasak menggunakan 2-3 kuali. Terima kasih suami tercinta 😘.

Ini rupa sambal tumis udang petai saya,
Alhamdulillah, suapan pertama terus suami tunjukkan "double thumbs up", haha, pandai ambil hati isteri. Katanya sedap betul, kena dengan selera beliau.

Jadi di sini, saya kongsikan resepi untuk menghasilkan sambal tumis udang petai yang sedap dan menarik warnanya. Oh, saya gorengkan dahulu udang dan petai separuh masak agar sambal tidak hanyir dan rasa yang lebih enak. 😊
Sambil masak sambil berselawat, barulah masak with Imaan gitu hehe.

Resepi Sambal Tumis Udang Petai Versi Aisyah

Bahan2.
Udang saiz sederhana (10-12ekor)
Petai (anggaran 20 biji dibelah 2)
Cili kering dikisar (8 sudu besar)
Bawang ros (8 ulas)
Bawang putih (3 ulas)
Bawang holland (1 biji dihiris bulat)
Air perahan asam jawa (secukup rasa)
Gula merah (secukup rasa)
Garam (secukup rasa).

Cara2.
a) Bersihkan udang, saya tidak buang kulit dan kepala udang untuk rasa sambal yang lebih manis, hanya guntingkan hujung janggut, ekor tajam belakang dan bahagian tajam kepala udang, guntingkan atas udang dan buang kotoran (urat hitam) dgn menggunakan lidi. Kupas petai, belah dua dan bersihkan. Jangan lupa selawat sewaktu membersihkan semua bahan masakan ya 😊
b) Tumbukkan bawang ros & bawang putih sehingga lumat.
c) Panaskan minyak dengan kuantiti yang agak banyak, kemudian dengan lafaz bismillah 😁 masukkan udang, gorengkan sebentar sahaja sehingga bertukar warna dan terus diangkat. Ketepikan.
d) Masukkan pula petai, dibalik-balikkan sebentar sehingga separuh masak, terus diangkat. Ketepikan.
e) Setelah itu, tumiskan bahan2 tumbuk sehingga terbit bau
f) Masukkan cili kering yang telah dikisar, dan juga gula merah (gula merah dimasukkan awal agar warna sambal menjadi lebih cantik), tumiskan cili sehingga pecah minyak.
e) Masukkan air panas sedikit, dan tunggu lagi sehingga sambal garing.
f) Masukkan air perahan asam jawa dan juga bawang holland yang dihiris bulat.
g) Akhir sekali, masukkan petai, udang dan garam (masukkan garam agak2 menggunakan tangan sambil selawat, barulah nama air tangan isteri, buat suami sentiasa teringat-ingat 😉). Gaulkan sebati dan tutupkan api. Udang tidak boleh dimasak lama kerana daging udang akan menjadi keras & liat.
Sambal tumis udang petai sedia dimakan. Selamat mencuba.

Dalam semua masakan saya, saya tidak menambah apa2 perasa tambahan seperti pak aji, secukup rasa, kiub2 dan seumpamanya. Kerana bahan-bahan tersebut mengandungi kandungan MSG yang tinggi dan tidak elok untuk kesihatan. 
Di rumah, kita cuba amalkan memasak makanan yang sihat, okay? InshaaALLAH, kita usahakan yang terbaik untuk keluarga tercinta 😉

Itu sahaja untuk hari ini.
Ummi Aisyah